MENGAPA CADANGAN GARIS PANDUAN PENGLIBATAN UMAT ISLAM DALAM UPACARA ORANG BUKAN ISLAM DIBATAL?

Date Friday, 21 February 2025


MENGAPA CADANGAN GARIS PANDUAN PENGLIBATAN UMAT ISLAM DALAM UPACARA ORANG BUKAN ISLAM DIBATAL?

Oleh

Tun Abdul Hamid Mohamad

(Saya percaya kebanyakan orang, termasuk pemimpin-pemimpin NGO Sabah dan Sarawak, tidak mengetahui bahawa garis panduan yang dicadangkan itu bukanlah suatu perkara baru. Sebenarnya, dalam tahun 2005, JAKIM telah pun mengeluarkan satu garis panduan bertajuk “Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Orang Bukan Islam (2005)”. Ia wujud hingga ke hari ini.

Dalam rencana ini, saya akan menunjukkan alasan-alasan pihak yang menentang cadangan garis panduan 2025, alasan-alasan yang diberi oleh Kerajaan untuk membatalkannya dan pandangan dan alasan-alasan saya untuk pembaca menimbang dan membuat keputusan sendiri.)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MJFK) dalam muzakarahnya pada 1 dan 2 Oktober 1970, telah, secara khusus, memberi pandangannya mengenai perkara ini apabila ia memutuskan:

“Pembesar-pembesar Islam tidak boleh merasmi pembukaan rumah-rumah ibadat orang-orang bukan Islam kecuali difikirkan kalau tidak berbuat demikian akan mendatangkan perpecahan dan permusuhan kaum dengan syarat tidak menyertai upacara ibadat dengan mereka.”

Perhatikan betapa prihatinnya ahli-ahli MJFK 55 tahun dahulu, pada masa, saya percaya, ahli-ahli NGO Sabah dan Sarawak yang membantah teruk cadangan 2025 ini, masih belum lahir pun.

Pada tahun 2005, atas usaha JAKIM, Kerajaan telah mengeluarkan Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Orang Bukan Islam (2005). Ia masih wujud dan berkuatkuasa hingga ke hari ini. 

Tujuannya adalah: 

“1. Garis Panduan ini disediakan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat Islam dalam menyertai majlis perayaan orang bukan Islam supaya tidak berlaku perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam.

2. Garis Panduan ini juga menjadi asas rujukan kepada agensi-agensi Kerajaan yang berkaitan dalam menganjur majlis perayaan orang bukan Islam Bersama dengan orang Islam supaya tidak berlaku perbuatan syubhat atau acara yang bercanggah dengan prinsip dan nilai-nilai Islam. (Perenggan 1 dan 2)”

 Ia menetapkan lima kriteria sebagai garis panduan kepada orang Islam yang akan menyertai majlis-majlis berkenaan:

“1. Majlis tersebut tidak disertakan dengan upacara-upacara yang bertentangan dengan akidah Islam.

Maksud "bertentangan dengan akidah Islam" ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan menyebabkan tercemarnya akidah umat Islam.

Contohnya;
a) Menyertakan simbol-simbol agama seperti salib, memasang lampu, lilin, pokok krismas dan sebagainya;

b) Menyanyikan lagu-lagu bercirikan agama;

c) Meletakkan apa-apa tanda bercirikan agama pada dahi, atau tanda-tanda lain pada anggota tubuh;

d) Memberikan ucapan atau isyarat yang berbentuk pujian kepada agama orang bukan Islam;

e) Tunduk atau melakukan perbuatan seolah-olah menghormati upacara agama orang bukan Islam;

 

2. Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang bertentangan dengan syarak.

Maksud "bertentangan dengan syarak" ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan bertentangan dengan ajaran Islam yang diamalkan oleh masyarakat Islam. 

Contohnya:

a) Memakai pakaian bewarna merah seperti Santa Claus atau pakaian lain yang melambangkan agama;

b) Menghidangkan minuman atau makanan yang memabukkan dan seumpamanya;

c) Mengadakan bunyi-bunyian atau hiasan seperti loceng gereja, pokok krismas, kuil atau memecah kelapa;

d) Mengadakan acara yang berunsur perjudian, penyembahan, pemujaan, khurafat dan sebagainya.

3. Majlis tersebut tidak disertakan dengan "perbuatan yang bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya masyarakat Islam" di negara ini.

Maksud "bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya masyarakat Islam" ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan bertentangan dengan nilai dan norma kehidupan masyarakat Islam negara ini yang berpegang kepada ajaran Islam berdasarkan ahli Sunnah wal Jamaah.

Contohnya:

a) Percampuran bebas tanpa batas dan adab sopan;

 b) Berpakaian yang menjolok mata;

 c) Mendendangkan lagu-lagu yang mempunyai seni kata berunsur lucah serta pemujaan;

 d) Mengadakan program seperti pertandingan ratu cantik, laga ayam dan sebagainya.

 4. Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang boleh "menyentuh sensitiviti masyarakat Islam."

 Maksud "menyentuh sensitiviti masyarakat Islam" ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan menyinggung perasaan umat Islam tentang kepercayaan dan amalan mereka.

 Contohnya:

 a) Ucapan-ucapan atau nyanyian berbentuk dakyah keagamaan bukan
Islam;

b) Ucapan-ucapan yang menghina umat Islam;
c) Ucapan-ucapan yang menghina agama Islam; 

d) Persembahan yang bertujuan mempersendakan pegangan agama masyarakat Islam.

5. Pihak penganjur dan orang ramai diminta mendapatkan pandangan pihak berkuasa agama sebelum menganjur atau menghadiri majlis perayaan orang yang bukan beragama Islam.”

Perlu diambil perhatian bahawa garis panduan itu hanyalah terpakai kepada orang Islam yang ingin turut merayakan, dan agensi-agensi Kerajaan yang akan menganjur, majlis-majlis seperti itu yang ingin tahu sempadan yang dibenarkan oleh Syarak. Ia menyatakan jika terdapat kriteria-kriteria yang disenaraikan itu, mereka hendaklah menjauhkan diri daripadanya. Ia tidak mempunyai kuatkuasa undang-undang. 

Sepanjang kewujudannya selama dua puluh tahun itu, setakat yang saya ingat, ia tidak pernah menjadi bahan berita atau isu dan kita tidak pernah mendengar sesiapa pun merujuk kepadanya atau membantahnya. Adakah kerana tidak ramai orang yang mengetahuinya, kita tidak tahu. JAKIM tentu boleh mencerahkan kita.

Dalam tahun 2023, keluar berita dan gambar yang menunjukkan PM Dato' Seri Anwar Ibrahim, isteri beliau Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan TPM Dato' Seri Ahmad Zahid Hamidi bersama pemimpin-pemimpin MCA dengan ghairahnya sedang mengacau dan melambung Yee Sang di satu majlis sambutan Tahun Baharu Cina parti tersebut.

Saya menulis satu rencana bertajuk “Menyertai Upacara Yee Sang Boleh Membawa Kepada Syirik?" yang disiarkan oleh beberapa akhbar. Saya tidak menyalahkan pemimpin-pemimpin kita itu atau menuduh mereka melakukan sesuatu yang menyalahi Syarak. Saya cuma bertanya sama ada perbuatan mereka itu boleh membawa kepada syirik .

Mufti Wilayah Persekutuan menjawab bahawa perbuatan itu tidak menyalahi Syarak. Alasan beliau adalah barang-barang yang digunakan untuk Yee Sang itu seperti ikan, sos, perasa, limau nipis, lada, minyak dan lobak merah adalah makanan yang halal, maka ia tidak dilarang Syarak.

Tetapi, soalan saya sama ada kepercayaan yang dikaitkan dengan barang-barang itu menyalahi Syarak, tidak dijawab. Misalnya ikan digunakan sebagai bahan utama kerana perkataan Mandarinnya, disebut "yu" bererti "kelimpahan sepanjang tahun". Pomelo atau limau nipis ditambah kepada ikan, menambah tuah dan nilai bertuah yang membawa maksud "semoga berjaya dan pelayaran yang lancar". Lada kemudiannya dihancurkan dengan harapan dapat menarik lebih banyak wang dan barang berharga yang ditafsirkan sebagai "menarik kekayaan dan harta karun". Kemudian minyak dicurahkan, mengelilingi bahan-bahan itu untuk menggalakkan wang mengalir masuk dari semua arah yang bermaksud "mendapat 10,000 kali untung dengan modal anda", dan "banyak sumber kekayaan". Mengapa Mufti itu tidak menjawabnya saya tidak tahu.

Sebenarnya, saya pun tidak tahu adanya garis panduan 2005 itu. Jika saya tahu saya akan terus bertanya PM DS Anwar Ibrahim dan TPM DS Zahid Hamidi sama ada mereka tahu akan wujudnya garis panduan itu dan, pada pendapat mereka, adakah perbuatan mereka itu melanggar garis panduan itu dan alasan mereka. Saya juga akan bertanya Mufti WP sama ada pemimpin-pemimpin itu telah melanggar garis panduan itu.

Walau bagaimana pun, saya percaya, rencana saya itu berperanan juga menyebabkan pegawai-pegawai JAKIM menyiapkan satu garis panduan baru yang dibentang dalam mesyuarat Kabinet pada 7 Februari 2025.

Maka, pada 7 Februari, Mesyuarat Kabinet pun membincang kertas yang disediakan oleh JAKIM bertajuk Penglibatan Orang Islam Dalam Majlis Sambutan Perayaan, Upacara Kematian Orang Selain Islam Serta Kunjungan Dan Penganjuran Majlis Di Rumah Ibadat Selain Islam”.

Selepas mesyuarat itu, satu kenyataan bersama telah dikeluarkan oleh Menteri Hal Ehwal Agama Dato’ Setia Mohd Naim Mokhtar dan Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara. Antara lain, kenyataan itu berkata:

“2. Mesyuarat telah meneliti mengenai kekeliruan berkaitan cadangan tersebut. Perkara ini berbangkit susulan beberapa pertanyaan daripada umat Islam tentang jemputan ke majlis anjuran masyarakat bukan Islam yang mungkin melibatkan unsur-unsur keagamaan. Bagi memberi panduan kepada umat Islam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengambil inisiatif membangunkan garis panduan tersebut.”

Soalan: Siapakah yang keliru mengenai cadangan tersebut? “Cadangan tersebut” semestinya bererti garis panduan baru yang dibincang dalam mesyuarat itu. Ia masih sulit. Setakat yang kita tahu hanya NGO-NGO bukan Islam, terutama sekali Kristian Sabah dan Sarawak, yang membantah. Bantahan mereka telah disiarkan pada hari yang sama. Ertinya mereka telah mendapat dan melihatnya lebih awal. Apatah lagi apabila ada NGO tersebut yang berpangkalan di Australia dan di New Zealand. Siapa yang membocorkan nkaya kepada mereka? Apa yang mereka keliru? Garis panduan itu dibuat untuk orang Islam, bukan untuk mereka. Jika mereka keliru, mereka patut diberi penjelasan, bukan membatalkannya!

Sebenarnya mereka bukan keliru. Mereka tidak sukakannya. Kerana mereka tidak sukakannya dan mengugut untuk membawa Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia, maka Kerajaan pun membatalkan cadangan itu, walaupun ia dibuat untuk rujukan orang Islam!

“3. Mengambil kira bahawa perkara ini telah menimbulkan kekeliruan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, bangsa dan agama, Jemaah Menteri telah bersetuju bahawa JAKIM boleh memberikan nasihat kepada orang Islam berkaitan keperluan menjaga akidah umat Islam berhubung perkara ini, namun nasihat tersebut tidak bersifat dasar. Jemaah Menteri juga mengingatkan bahawa setiap dasar yang dirangka perlu mengambil kira aspek perpaduan nasional serta mendapatkan kelulusan Kabinet terlebih dahulu.”

 

Soalan: Bagaimana rakyat boleh keliru dengan perkara yang mereka belum tahu pun? Cadangan itu masih sulit. Lagi pun jika rakyat keliru, keluarkanlah garis panduan ini untuk menjadi rujukan mereka.

 “4. …..

 5. …. Justeru, segala perkara berkait rapat dengan keharmonian antara penganut agama akan dibincangkan secara lanjut dalam Mesyuarat Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (JK HARMONI) yang dipengerusikan bersama. Mesyuarat …. bulan ini akan mendengar segala pandangan ahli - ahli yang terdiri 24 wakil penganut agama (Islam, Buddha, Hindu, Kristian, Sikh, Tao, Baha’i).”

Komen: Kenyataan itu tidak menyebut sama ada cadangan garis panduan itu dibatal atau ditangguh. Ia cuma mengatakan “ JAKIM boleh memberikan nasihat kepada orang Islam berkaitan keperluan menjaga akidah umat Islam berhubung perkara ini,…” dansegala perkara berkait rapat dengan keharmonian antara penganut agama akan dibincangkan secara lanjut dalam Mesyuarat Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (JK HARMONI).” Kita tidak tahu apa keputusan yang dibuat mengenai cadangan itu.

Pada hari yang sama, TRP What’sss New(s) telah melaporkan kenyataan bersama NGO-NGO Sabah dan Sarawak yang telah disebut itu. Antara lain, ia mengatakan:

“Pemimpin-pemimpin masyarakat sivil dari Sabah dan Sarawak telah mengeluarkan kata dua yang tegas – sama ada menghormati autonomi agama mereka atau menghadapi seruan untuk kemerdekaan daripada Malaysia, berikutan garis panduan kontroversi yang menyekat penyertaan orang Islam dalam acara bukan Islam.

Kenyataan bersama itu, yang dikeluarkan oleh tujuh pertubuhan masyarakat sivil terkemuka, menandakan peningkatan dalam penentangan Malaysia Timur terhadap apa yang mereka sifatkan sebagai "ekstremisme agama yang diimport" dari Semenanjung Malaysia.

“Ini bukan lagi mengenai dasar individu. Ini adalah mengenai pelanggaran asas Perjanjian Malaysia 1963,” kata Daniel John Jambun, Presiden Yayasan Borneo’s Plight in Malaysia (BoPiMaFo).

Titik kilat terkini tertumpu pada peraturan yang dicadangkan yang memerlukan pegawai Islam mendapatkan kelulusan sebelum menghadiri acara bukan Islam - satu amalan biasa di Malaysia Timur di mana perayaan antara agama sangat terjalin dalam fabrik sosial.

“Di Borneo, adalah perkara biasa bagi keluarga untuk mempunyai ahli agama yang berbeza. Sekatan ini bukan hanya dasar – ia adalah satu serangan terhadap cara hidup kita,” kata Robert Pei, Presiden Sabah Sarawak Rights Australia New Zealand.

Titik Pecah

Sekatan agama yang semakin meningkat mewakili titik pemecahan bagi kebanyakan rakyat Malaysia Timur.

Di Sabah dan Sarawak, di mana umat Islam kerap mengambil bahagian dalam perayaan Krismas, Gawai dan Tahun Baru Cina, garis panduan baharu itu dilihat sebagai ancaman kepada kewujudan identiti pelbagai budaya mereka.

“Kami telah mengekalkan keharmonian agama selama beberapa generasi tanpa campur tangan orang Melayu. Dasar-dasar ini tidak mempunyai tujuan kecuali untuk memecah belah,” kata Voon Lee Shan, Presiden Parti Bumi Kenyalang Sarawak.

Gabungan itu berhujah bahawa kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, walaupun dijanjikan pembaharuan, telah mempercepatkan peralihan Malaysia ke arah konservatisme agama.

Laluan menuju Kemerdekaan

Kenyataan itu menggariskan alasan undang-undang untuk pemisahan, memetik pelbagai pelanggaran syarat asas MA63, khususnya mengenai kebebasan beragama.

“Ini bukan hanya tentang menentang dasar lagi. Kami sedang membina kes untuk kemerdekaan,” kata Paul Rajah dari Human Rights Advocates Sarawak.

Walaupun seruan untuk kemerdekaan bukanlah perkara baru, barisan bersatu yang dikemukakan oleh organisasi ini menandakan sokongan arus perdana yang semakin meningkat untuk perpisahan.

Seruan untuk kemerdekaan sering berakar umbi dalam perjanjian bersejarah seperti perjanjian 20 perkara yang menentukan hak mereka dalam Persekutuan Malaysia."

Komen: Perhatikan keangkuhan mereka. Pembaca nilailah sendiri hujah mereka.

Pada hari itu juga PM DS Anwar Ibrahim melawat Batu Caves. NST melaporkan:

“Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim telah berundur daripada cadangan kontroversi untuk mengeluarkan garis panduan untuk orang Islam yang ingin menyertai acara bukan Islam, dengan mengatakan Kabinetnya telah membatalkan idea itu berikutan tindak balas sengit daripada pelbagai kumpulan.

“Tidak perlu (garis panduan) kerana sebagai orang Islam mereka sepatutnya tahu perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan,” kata Datuk Seri Anwar pada 7 Feb, selepas mesyuarat mingguan Kabinet.

“Seperti sekarang, saya di sini bukan untuk menyertai apa-apa sembahyang (Hindu),” katanya kepada pemberita ketika melawat kuil terkenal di Batu Caves di negeri Selangor, menjelang sambutan Thaipusam di negara ini pada 11 Feb.”

Sekarang tahulah kita bahawa Mesyuarat Kabinet telah membatalkan cadangan JAKIM itu. PM Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah memberi dua alasan:

1. Kabinetnya telah membatalkan idea itu berikutan tindak balas sengit daripada pelbagai kumpulan.

2. Tidak perlu (garis panduan) kerana sebagai orang Islam mereka sepatutnya tahu perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan…”

Komen: Cadangan itu masih di peringkat sulit, bagaimana ia boleh membangkitkan tindak balas yang sengit daripada pelbagai kumpulan. Setakat ini, dari apa yang kita baca di media massa, hanya NGO-NGO Sabah dan Sarawak yang membantah dengan keras hingga mengugut untuk menuntut kemerdekaan Sabah dan Sarawak. Mereka menganggap Semenanjung Tanah Melayu sebagai penjajah. Kumpulan seperti itukah yang patut didengar tanpa memberi peluang kepada kumpulan-kumpulan Islam memberi pendapat mereka atau mempertahankan tujuan pegawai-pegawai JAKIM, pada hal garis panduan ini dibuat untuk menjadi panduan kepada umat Islam untuk mengelak perbuatan syirik?

Atau, adakah itu bukan alasan sebenar dan alasan sebenar adalah Kerajaan Perpaduan takut Ahli-Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak menarik sokongan mereka kepada Kerajaan Perpaduan? NGO-NGO Sabah dan Sarawak yang berjuang untuk mengeluarkan Sabah dan Sarawak dari Malaysia mengetahui kelemahan Kerajaan Perpaduan dan mengambil kesempatan sehabis-habisnya. Dalam isu ini, nampaknya mereka telah menang sebelum orang Melayu/Islam yang mempunyai paling banyak perwakilan dalam Parlimen sempat berkata sesuatu.

Mengenai alasan kedua, tiba-tiba orang Islam pandai sendiri mengenai batasan syirik dan khurafat sedangkan dalam fekah termasuk mengenai haji dan nikah kahwin, mereka perlu menghadiri kursus. Adakah fekah lebih susah difahami daripada batasan syirik?

Pada hari yang sama juga, PM DS Anwar Ibrahim telah pergi ke Batu Caves. Tujuannya kita tidak tahu. Beliau sendiri memberitahu pemberita, "...I am not here to participate in any prayer..." (“Saya berada di sini bukan untuk mengambil bahagian dalam apa-apa sembahyang (Hindu”).

Itu kita semua percaya. Tetapi, mengapa pada hari Kabinet  membatalkan cadangan tersebut dan empat hari sebelum perayaan Thaipusam beliau bergegas ke Batu Caves? Adakah untuk memberitahu penganut-penganut agama Hindu beliau baru sahaja membatalkan cadangan itu untuk mengambil hati mereka? Ertinya, tujuannya semata-mata politik. Nampaknya seperti politik mengatasi segala-galanya.

Esoknya, 8 Februari 2025, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor mengeluarkan kenyataan Baginda, yang, antara lain, mengatakan:

“Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menzahirkan pendirian tegas Baginda untuk tidak bersetuju dengan cadangan mewujudkan garis panduan kepada umat Islam yang menghadiri majlis perayaan orang bukan Islam khususnya di negeri Selangor.“

Saya tidak akan menurunkan keseluruhan kenyataan Baginda kerana saya tidak bertujuan untuk berhujah dengan Baginda. Saya hanya akan mengatakan satu perkara.

JAKIM telah mendapati perlu untuk menggubal semula garis panduan berkenaan. Ia adalah untuk menjadi rujukan dan panduan orang Islam yang ingin tahu hukum mengenainya. Hukum-hukum mengenainya telah dipersetujui oleh MJFK. Ia dibawa ke Mesyuarat Kabinet untuk dibincang dan membuat keputusan. Pada hari yang sama, bantahan NGO-NGO Sabah dan Sarawak disiarkan. Mereka mengugut untuk membawa Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia jika Kerajaan meneruskan cadangan itu. Pada hari itu juga, Kabinet membatalkannya. Orang Islam tidak berkesempatan memberi pandangan mereka kerana cadangan itu masih sulit. Esoknya, Baginda mengeluarkan kenyataan Baginda. Maka tertutuplah peluang umat Islam memberi pandangan mereka.

Dalam hal ini, paling kurang berilah peluang kepada umat Islam menyuarakan pendapat mereka. Cadangan ini adalah untuk mereka menyemak hukum Syarak mengenai hal berkenaan. Iman dan syirik adalah urusan di antara mereka dengan Allah, bukan di antara mereka dengan orang bukan Islam. Adakah orang-orang bukan Islam itu tidak mahu mereka tahu hukum-hukumnya kerana takut mereka tidak akan menyertai dan tidak akan melakukan apa yang dilarang oleh agama mereka? Tidakkah pemimpin-pemimpin yang beragama Islam itu nampak kemungkinan ini? 

NGO-NGO Sabah dan Sarawak dan ahli-ahli politiknya tentu bersorak gembira: Kerajaan Persekutuan takut kepada mereka.

Tetapi, semasa mereka merancang, Allah juga merancang. Cadangan 2025 dibatal. Garis Panduan 2005 masih wujud untuk dirujuk oleh umat Islam yang ingin tahu. Adakah NGO-NGO itu akan membantahnya juga? Adakah Kerajaan Perpaduan akan membatalkannya juga?

21 Februari 2025

This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
http://www.tunabdulhamid.my
https://tunabdulhamid.me



DOWNLOAD ATTACHMENT

Read 31 times