KELUARKAN PERDANA MENTERI DARIPADA PROSES PELANTIKAN HAKIM?
Oleh
Tun Abdul Hamid Mohamad
Saya fikir perbincangan ini patut dibahagikan kepada dua tempoh masa, iaitu sebelum dan selepas Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 uat kuasa iaitu pada 2 Februari 2009.
Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak atas nasihat Perdana Menteri dalam pelantikan Ketua Hakim Negara (KHN), Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim, Hakim Besar Mahkamah Tinggi (Malaya) Hakim Besar Mahkamah Tinggi (Sabah dan Sarawak), Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi.
Ayat bahawa Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak atas nasihat Perdana Menteri dalam pelantikan Hakim-Hakim itu tidak dipinda semenjak penubuhan Malaysia (1963) hinggalah sekarang. Yang membezakan kedudukan dalam dua tempoh itu ialah Akta SPK 2009.
Mengikut Perlembagaan, sebelum 2009, asalkan Perdana Menteri mematuhi keperluan berunding yang ditetapkan oleh Perlembagaan, beliau boleh menasihatkan Yang di-Pertuan Agong sesiapa sahaja yang memenuhi syarat yang ditetapkan oleh Perlembagaan menjadi Hakim atau dinaikkan pangkat. Itu adalah prerogatif beliau.
Maka, jika beliau memilih seorang daripada partinya atau penyokong partinya atau tidak memilih seorang dari parti pembangkang menjadi Hakim beliau tidak boleh dikatakan melanggarnya. Jika beliau memilih seorang Hakim yang junior untuk dilantik menjadi KHN kerana beliau fikir Hakim itu akan berat kepadanya pun, beliau tidak boleh dituduh campur tangan politik. Itu prerogatifnya.
Di Malaysia, tiga Perdana Menteri pertama, mengikut kekananan (seniority) dalam kenaikan pangkat Hakim. Mungkin itu kerana mereka kesemuanya peguam latihan England. Tun Dr Mahathir adalah Perdana Menteri pertama yang tidak mengikutnya. Beliau boleh menghujahkan itu prerogatifnya. Sebaliknya boleh juga dihujahkan bahawa itu adalah perbezaan di antara seorang negarawan dengan seorang ahli politik. Tetapi, saya tidak fikir beliau boleh memberi hujah yang sama mengenai peristiwa penyingkiran Tun Salleh Abas.
Tun Abdullah Badawi, didesak oleh UMNO, mencuba sedaya upaya untuk menghalang saya daripada menjadi KHN walau pun saya Hakim paling kanan semata-mata kerana saya melepas dan membebaskan Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Orang politik tidak pedulikan alasan penghakiman. Asalkan Hakim itu melepas dan membebas musuh politik mereka, Hakim itu orang dia. Sejauh itu sahaja fikiran mereka. Tetapi akhirnya beliau mengalah kepada Sultan Azlan Shah. Tun Dr. Mahathir tidak puas hati dengannya kerana baginya Tun Abdullah tidak patut mengalah. Biar apa pun, saya yang untung. - Lihat Politik Dalam Pelantikan Hakim-Hakim di Malaysia (05 10 2022).
Selepas itu Akta SPK 2009 pun berkuat kuasa. Ia berjalan dengan baik semasa Tun Abdullah Badawi dan Dato’ Seri Najib menjadi Perdana Menteri. Lihat Judicial Appointments Commission As I See It (28 01 2012)
Kemenangan Pakatan Harapan menyaksikan Tun Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri sekali lagi. Peristiwa Tun Salleh Abas berulang lagi, kali ini melibatkan Tun Raus Sharif, KHN dan Tan Sri Zulkefli Makinuddin, Hakim Besar (Malaya). Bukan sahaja beliau memanggil kedua-dua Hakim itu ke pejabatnya dan menyuruh mereka meletak jawatan/bersara, Tun Daim yang tidak memegang apa-apa jawatan dalam Kerajaan Tun Dr. Mahathir turut berbuat demikian, atas kapasiti apa? Perbuatan ini dan penganugerahan gelaran Tan Sri kepada Dato’ Tengku Maimun (pada masa itu) menunjukkan Tun Dr. Mahathir hendak menunjukkan kepada mereka siapa bos.
Dalam tahun 2019, Tun Dr. Mahathir telah memilih Datuk Tengku Maimun yang hanya baru menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan selama enam bulan menjadi KHN. Kisah pelantikannya diceritakan oleh Tan Sri T, KHN, mmy Thomas dalam bukunya My Story: Judiciary in the Wilderness. Beliau mengatakan beliau telah mencadangkan nama Dato’ Tengku Maimun kepada Tun Dr. Mahathir dan beliau bersetuju. Nama Dato’ Tengku Maimun terus dibawa ke Majlis Raja-Raja untuk mendapat persetujuan. Sedikit pun tidak disebut mengenai Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK).
Pada masa itu Akta SPK 2009 sudah berkuat kuasa. Soalnya bukan lagi sama ada beliau melakukan campur tangan politik atau penyalahgunaan prerogatif dalam pelantikan KHN. Soalnya adakah pelantikan itu dibuat menurut procedure yang ditetapkan oleh Akta SPK 2009 dan adakah pelantikan itu sah?
Pelantikan itu disambut gembira oleh penyokong-penyokong Pakatan Harapan, termasuk Majlis Peguam kerana Pakatan Harapan telah melantik Wanita pertama menjadi KHN. Bukan sahaja pelantikan seorang yang amat junior tidak dipersoalkan, sama ada pelantikan itu mengikut peraturan yang ditetapkan oleh Akta SPK 2009 juga tidak dipersoalkan.
Kita tidak tahu, Tun Tengku Maimun dan ahli-ahli SPK pada masa itu juga membisu mengenainya. Majlis Peguam gembira penghakiman Mahkamah Persekutuan di bawah pimpinan Tun Tengku Maimun selaras dengan hehendak mereka dan falsafah Pakatan Harapan, walaupun setelah Pakatan Harapan jatuh.
Kita juga tidak tahu sama ada tiga orang Perdana Menteri selepas Tun Dr. Mahathir mengganggu proses pelantikan Hakim atau membelakangkan SPK. KHN dan ahli-ahli SPK pun tidak bercakap mengenainya. Kita menyangka semuanya berjalan seperti yang ditetapkan oleh Akta SPK 2009 walaupun kita kurang senang melihat Hakim-Hakim yang junior dinaikkan pangkat melangkau Hakim-Hakim yang lebih kanan dan Hakim-Hakim yang pandanan mereka tidak serupa dengan pandangan KHN dan pasukannya diketepikan.
Tiba-tiba, isu ini menjadi panas selepas ucapan Tun Tengku Maimun di Pembukaan Tahun Undang-Undang 2025 pada 8 Januari 2025. Setelah menceritakan procedure pelantikan Hakim dengan panjang lebar, beliau berkata:
“78] Oleh itu, apa yang jelas daripada peruntukan Perlembagaan mengenai pelantikan Hakim, dibaca dengan procedure tambahan dalam Akta SPK 2009 ialah tidak ada sesiapa selain daripada SPK dan Perdana Menteri yang boleh mencadangkan calon untuk pelantikan ke semua jawatan Hakim di mahkamah tertinggi.
79] Sebarang bentuk pemintasan peruntukan ini boleh menyebabkan pelantikan tersebut sama ada tidak berperlembagaan atau melanggar undang-undang bertulis. Atas sebab ini, tiada seorang pun, sama ada Presiden Majlis Peguam Malaysia, mana-mana peguam bela atau peguam cara, mana-mana parti politik, Peguam Negara atau sesiapa pun berhak mencadangkan nama seseorang kepada Perdana Menteri untuk pelantikan”.[i] (Terjemahan saya.)
Saya tiada masalah dengan perenggan 78. Perenggan 79 adalah ibarat pepatah Melayu, meludah ke langit menimpa batang hidung sendiri.
Pada 15 Mac 2025 Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Peguam meluluskan resolusi 1) mengutuk sekeras-kerasnya sebarang gangguan terhadap kebebasan kehakiman 2) (Seperti perenggan 79 ucapan Tun Tengku Maimun di atas) dan 3) menuntut Kerajaan menubuhkan lembaga penyisatan untuk menyiasat gangguan kebebasan kehakiman “seperti yang dikatakan oleh KHN itu."
Sila rujuk kembali kepada perenggan 79 ucapan KHN. Apa yang dikatakan oleh beliau? Ini katanya:
“Atas sebab ini, tiada …sesiapa pun berhak mencadangkan nama seseorang kepada Perdana Menteri untuk pelantikan.”
Siapa yang hendak disiasat?
Selapas itu, Persatuan Undang-Undang Komanwel (CLA) pula mengeluarkan kenyataan. Tentu sekali Majlis Peguam memohon sokongan mereka. Kenyataan itu bertajuk:
“Kenyataan CLA mengenai Resolusi Majlis Peguam Malaysia Berkenaan Kebebasan Badan Kehakiman”.[ii] (Terjemahan saya.)
Ia bermula seperti berikut:
“Persatuan Peguam Komanwel (“CLA”) mencatatkan kebimbangan mengenai kesan penghakisan kebebasan badan kehakiman di Malaysia, yang dibangkitkan oleh Majlis Peguam Malaysia pada Mesyuarat Agung Tahunannya yang diadakan pada 15 Mac 2025, yang menghasilkan resolusi yang diterima pakai sebulat suara.”[iii] (Terjemahan saya.)
Ia berakhir seperti berikut:
“Oleh itu, CLA menyeru Kerajaan Malaysia untuk terus mempromosi, mempertahankan dan melindungi kebebasan badan kehakiman dengan teliti, memastikan pematuhan ketat terhadap peruntukan perlembagaan dan akta Parlimen dalam pelantikan hakim.”[iv] (Terjemahan saya.)
Mungkin kenyataan CLA itu lebih memberanikan Tun Tengku Maimun. Pada 8 April 2025 beliau mendapat peluang berucap di Persidangan Undang-Undang Komanwel Ke-24 di Malta pada 8 April 2025. Maka berkatalah beliau kepada Hakim-Hakim Besar dan Hakim-Hakim Mahkamah Tertinggi dari seluruh Komanwel:
“37] Sejak akhir-akhir ini, terdapat cadangan untuk meminda Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 dan Perlembagaan Persekutuan untuk menghapuskan peranan Perdana Menteri dalam pelantikan hakim. Perubahan sedemikian pada pandangan saya, akan mengukuhkan kesaksamaan proses pemilihan, memastikan pelantikan kehakiman kekal berlandaskan merit dan bebas daripada sebarang persepsi pengaruh politik.[v] (Terjemahan saya.)
Ingat kembali peruntukan berkenaan dalam Perlembagaan Persekutuan telah dimasukkan oleh enam penggubal yang terdiri daripada Hakim-Hakim dari negara-negara Komanwel, iaitu tiga dari Britain, seorang masing-masing dari Australia, India dan Pakistan.
Kita tidak tahu berapa negara Komanwel yang telah mengeluarkan Perdana Menteri mereka daripada proses pelantikan Hakim. Saya tidak terkejut jika tidak ada. Kita tidak tahu reaksi Hakim-Hakim Komawnel itu yang mendengar ucapan KHN Malaysia itu.
Kita tertanya-tanya, selama enam tahun beliau menjadi KHN, adakah Perdana-Perdana Menteri itu melanggar peruntukan-peruntukan dalam pelantikan Hakim. Tidak pula disebut olehnya. Yang disebut adalah kisah penyingkiran Tun Salleh Abas yang sudah lapuk.
Mengapa tiba-tiba sekarang hendak mengenepikan Perdana Menteri dalam pelantikan Hakim? Yang jelas itulah apa yang dituntut oleh Majlis Peguam sekian lama. Majlis Peguam tidak puas hati kerana cadangannya supaya Majlis Peguam dan Persatuan Peguam Sabah dan Sarawak diwakili dalam SPK telah ditolak.
Majlis Peguam menghujahkan bahawa sebagai stakeholders ia dan Persatuan-Persatuan Undang-Undang Sabah dan Sarawak mestilah diwakili. Hujah ini meleset kerana orang yang berkepentingan adalah paling tidak bebas. Mereka mahu orang yang bebas menjadi ahli SPK. Mereka juga mahukan orang yang bebas dilantik menjadi Hakim. Ahli SPK yang berkepentingan tentu sekali memilih orang yang akan memihak kepadanya, bukan orang yang bebas, menjadi Hakim.
Jika kumpulan yang berkepentingan perlu diwakili, mengapa hanya peguam? Mengapa tidak PDRM, SPRM, parti-parti pembangkang, NGO malah orang perseorangan? Bagaimana jika ada pihak yang mewakili penjenayah tampil ke hadapan dan berkata “Kami juga stakeholders dan kami mahu diwakili dalam SPK?”
Kita perlu ingat, di bawah pemerintahan Raja Mutlak, Baginda melantik Perdana Menteri dan KHN siapa yang Baginda perkenan. Di bawah pemerintahan Raja Berperlembagaan, kuasa Baginda diserah kepada Perdana Menteri yang tanggungjawabnya bukan sahaja kepada partinya, tetapi kepada seluruh negara. Beliau perlu berfikir sebagai negarawan bukan ketua parti lagi. Tentu ada Perdana Menteri yang cuba mengenepikan SPK untuk memilih orang yang disukainya. Tetapi, ada Perdana Menteri yang mematuhi undang-undang. Itu masalah manusia.
Ketepikan Perdana Menteri dengan undang-undang tidak bererti pengaruhnya dapat dihapuskan. Ingat, kewangan terletak di bawah kuasanya. Juga ingat, kuasa terakhir, iaitu menasihatkan Yang di-Pertuan Agung masih terletak padanya. Bagaimana jika beliau enggan menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk melantik orang yang dipilih oleh KHN dan SPK?
Katakanlah Perdana Menteri berjaya diketepikan dan, dengan itu, pelantikan orangnya dapat dielakkan. Adakah itu menjamin orang-orang yang bebas akan dilantik menjadi Hakim? Saya katakan orang yang akan dipilih oleh SPK menjadi Hakim adalah pilihan KHN dan Majlis Peguam. Saya tidak hairan jika seorang KHN akan memilih Hakim-Hakim yang sekata dengannya untuk mewujudkan korum yang akan menyokong pendapatnya dalam sesuatu isu dan mempertahankan pendapat itu selepas persaraannya.
Konfrontasi dan penyingkiran Perdana Menteri bukanlah cara yang betul. Konfrontasi akan melahirkan counter-konfontasi. Menyingkirkan Perdana Menteri untuk mengelak dictatorship of the Prime Minister mungkin menggantikannya dengan dictatorship of the Chief Justice.
SPK hendaklah dikekalkan. Semua pihak yang terlibat mestilah berusaha to make it work, bukan untuk menguatkan kedudukan masing-masing dengan mengenepikan yang lainnya. Yang rugi adalah negara.
Saya tidak fikir ada seorang Perdana Menteri yang akan meminda undang-undang untuk mengeluarkan Perdana Menteri daripada urusan pelantikan Hakim. Itu kerja Pak Pandir.
Kepada Tun Tengku Maimun saya katakan: Berdasarkan apa yang dikatakan oleh Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas dalam bukunya, Tun telah untung daripada salah laku beliau dan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir. Tun telah melakukan kerosakan yang cukup kepada undang-undang negara. Mengapa tidak bersara diam-diam apabila mencapai umur 66 tahun?
20 04 2025
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
[i] 78] That said, what is clear from the constitutional provisions on the appointment of Judges read with the supplementing procedure in the JACA 2009 is this – no person other than the JAC and the Prime Minister can recommend candidates for appointment to all posts in the Superior Courts.
79] Any form of circumvention of these provisions could render those appointments either unconstitutional or in breach of written law. For this reason, no person, whether it be the President of the Malaysian Bar, any advocate or solicitor, any political party, the Attorney General or any other person for that matter has any business recommending names to the Prime Minister for appointment.
[ii] CLA Statement on the olution by the Malaysian Bar Regarding the Independence of the Judiciary
[iii] The Commonwealth Lawyers Association (“CLA”) notes the concerns over the perceived erosion of the independence of the judiciary in Malaysia, raised by the Malaysian Bar at its Annual General Meeting held on 15 March 2025, which resulted in a resolution that was unanimously adopted.
[iv] The CLA therefore calls on the Government of Malaysia to continue to scrupulously promote, uphold and protect the independence of the judiciary, ensuring strict compliance with constitutional and statutory provisions in the appointment of judges.
[v] [37] Of late, there have been proposals to amend the Judicial Appointments Commission Act 2009 and the Federal Constitution to remove the role of the Prime Minister in the appointment of judges. Such changes in my view, would reinforce the impartiality of the selection process, ensuring that judicial appointments remain firmly grounded on merit and free from any perception of political influence.